Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menafikan mengeluarkan kenyataan bahawa partinya akan membawa usul pelaksanaan hudud dalam Dewan Rakyat jika Pakatan Rakyat memerintah, seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa Cina.

Sebaliknya, dalam wawancara dengan Sin Chew Daily itu, beliau hanya menjelaskan, sebarang pindaan undang-undang perlu mendapat sokongan majoriti di parlimen, mengikut peruntukan perlembagaan persekutuan dan perjanjian dalam Pakatan.

Malah, katanya, jika usul pelaksanaan hukum Islam itu dibawa ke parlimen, tetapi ditolak oleh majoriti ahli parlimen untuk dibahaskan, maka sudah tentu tidak boleh dilaksanakan.

"Saya kata (pada Sin Chew Daily), sebarang perubahan dan pindaan hendaklah melalui parlimen dan mengikut perlembagaan dan menghormati perjanjian Pakatan Rakyat. Saya tak sebut mengenai (bawa usul) hudud (ke parlimen).

"Bawa usul, (tetapi) ramai tolak, (maka) tak boleh jalankan hudud," katanya ketika ditemui malam tadi.

Harian itu dalam versi atas taliannya semalam dan muka depan edisi cetaknya hari ini memetik beliau sebagai berkata, PAS berhasrat mengusulkan pindaan perlembagaan di Parlimen dalam usaha melaksanakan hudud sekiranya berjaya mengambil alih Putrajaya.

Beliau dilaporkan mendakwa perkara tersebut merupakan pendirian PAS dan pihak lain termasuk ahli parlimen bukan Islam yang tidak bersetuju boleh mencabarnya dalam di parlimen.

Bercakap kepada Malaysiakini, Mohamad bagaimanapun menegaskan, sebelum melaksanakan undang-undang syariah itu, urus tadbir kerajaan dan keadilan sosial di kalangan rakyat perlu diwujudkan terlebih dahulu.

"Nak buat hudud perlu timbulkan good governance dan keadilan sosial terlebih dahulu," katanya sambil menambah isu hudud itu akan dimainkan BN setiap kali menjelang pilihan raya.